A. PENGAUDITAN
1. Apakah maksud pengauditan?
Pengauditan boleh ditakrifkan sebagai suatu pemeriksaan, analisa dan nilaian yang berterusan dan sistematik ke atas penyata kewangan, rekod, operasi dan pentadbiran sesuatu organisasi bagi menentukan samada prinsip-prinsip am perakaunan, polisi-polisi pengurusan, peraturan dan prosedur dipatuhi.
2. Mengapa pengauditan perlu dijalankan?
Pengauditan dijalankan bagi memastikan:
- kehendak undang-undang dan peraturan telah dipatuhi;
- mendedahkan faktor atau elemen yang tidak mendorong kepada kecekapan, keberkesanan, dan ekonomi berhubung dengan perakaunan Negara;
- memberi pendapat sama ada penyata kewangan menunjukkan satu kenyataan yang benar dan munasabah mengenai kedudukan dan ketepatan rekod-rekod mengikut piawaian pengauditan yang diterima pakai.
3. Apakah mandat bagi menjalankan pengauditan?
Mandat audit diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan diperincikan melalui Akta Audit 1957.
4. Siapakah yang melantik Ketua Audit Negara?
Ketua Audit Negara dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja mengikut Artikel 105 Perlembagaan Persekutuan.
5. Apakah tanggungjawab Ketua Audit Negara?
Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menggariskan tanggungjawab Ketua Audit Negara untuk mengaudit Akaun Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Agensi Kerajaan, Pihak Berkuasa Awam Lain dan Badan-badan yang ditentukan dengan perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
6. Apakah kuasa Ketua Audit Negara?
Ketua Audit Negara berkuasa penuh untuk mendapatkan segala maklumat dan keterangan serta penjelasan dalam menjalankan kewajipannya. Beliau berhak memeriksa semua dokumen dan boleh meminta individu tertentu memberi keterangan secara bersumpah serta memberi kuasa kepada mana-mana individu menjalankan penyiasatan dan pemeriksaan bagi pihak beliau. Di samping itu, Ketua Audit Negara juga boleh mendapatkan khidmat nasihat perundangan bagi menjalankan tugasnya. Segala keterangan dan maklumat yang didapati oleh Ketua Audit Negara berkaitan dengan kewajipannya adalah rahsia.
7. Apakah skop pengauditan yang dijalankan?
- Pengauditan Penyata Kewangan - untuk mengesahkan penyata kewangan tahunan yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan/Negeri/Agensi Kerajaan bagi memenuhi keperluan undang-undang dan standard perakaunan. Melalui pengauditan ini Ketua Audit Negara akan memberi pendapat sama ada penyata yang disediakan menggambarkan kedudukan kewangan yang benar dan saksama serta rekod-rekod perakaunan mengenainya telah diselenggarakan dengan teratur dan dikemas kini.
- Pengauditan Pematuhan - untuk menentukan sama ada pengurusan kewangan di Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.
- Pengauditan Prestasi - untuk menilai sama ada sesuatu program/ aktiviti Kerajaan dilaksanakan dengan cekap, berhemat serta mencapai objektif yang ditetapkan.
8. Bagaimanakah proses pengauditan dijalankan?
Berdasarkan ISAAI 100, para 34, proses audit melibatkan perancangan audit, melaksanakan audit serta pelaporan dan susulan audit.
Secara umumnya, proses pengauditan melibatkan 3 peringkat iaitu perancangan, pelaksanaan dan pelaporan serta susulan.
i. Peringkat perancangan melibatkan penyediaan rancangan audit tahunan dan penyediaan Memorandum Perancangan Audit (APM).
ii. Peringkat pelaksanaan melibatkan mesyuarat pembukaan, menjalankan pengauditan terperinci, mengelaurkan surat pemerhatian dan mengadakan mesyuarat penutup.
iii. Peringkat akhir adalah peringkat penyediaan draf Laporan Ketua Audit Negara yang dimasukan pendapat dan syor Ketua Audit Negara. Peringkat susulan audit pula melibat proses susulan bagi isu audit yang berbangkit serta syor Ketua Audit Negara.
9. Siapakah yang diaudit?
Pengauditan dibuat terhadap 26 Kementerian dan 96 Jabatan Persekutuan, 13 Kerajaan Negeri, 120 Penyata Kewangan dan 12 Kumpulan Wang Badan Berkanun Persekutuan, 124 Badan Berkanun Negeri, 144 Pihak Berkuasa Tempatan, 15 Majlis Agama Islam, Kumpulan Wang Amanah, Akaun Amanah serta 496 Syarikat Kerajaan (di mana Kerajaan memiliki 50% atau lebih ekuiti).
10. Apakah jenis laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara?
- Penyata Akaun Awam dan Pengurusan Kewangan Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan
- Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan
- Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri
- Aktiviti dan Kajian Khas Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri
- Pengurusan Kewangan dan Aktiviti Badan Berkanun Persekutuan
11. Bagaimanakah proses Laporan Audit dikeluarkan?
Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan berdasarkan mandat di bawah Seksyen 9, Akta Audit dan Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan. Sesuatu Laporan Ketua Audit Negara akan dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat/Dewan Undangan Negeri setelah mendapat perkenaan KDYMM Yang Di-Pertuan Agong/Sultan/Raja bagi sesebuah negeri. Sebelum sesuatu Laporan Ketua Audit Negara dimuktamadkan, ia akan mengambil kira maklum balas dari auditi, dibincangkan dalam mesyuarat penutup serta dikeluarkan confirmatery letter.
12. Apakah jenis sijil yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara?
- Sijil Tanpa Teguran - Penyata Kewangan telah disediakan dan dipersembahkan mengikut piawaian yang diterima pakai, diamalkan secara konsisten, seragam serta pendedahan yang mencukupi.
- Sijil Berteguran – Perkara material yang boleh menjelaskan kesaksamaan penyata kewangan dari aspek prinsip perakaunan yang digunakan, konsistensi atau had disebabkan kekangan skop pengauditan.
- Sijil Bertentangan – Penyata kewangan tidak menunjukkan kedudukan yang benar dan saksama atau tidak mematuhi prinsip perakaunan yang diterima umum. Kesan perbezaan pendapat adalah material dan menyeluruh terhadap penyata kewangan dan pendapat berteguran tidak memadai untuk mendedahkan kekeliruan atau penyata kewangan tidak sempurna.
- Sijil Penafian – Kesan yang mungkin timbul daripada kekangan skop pengauditan adalah material dan menyeluruh di mana bukti tidak mencukupi untuk memberi pendapat terhadap penyata kewangan.
13. Bagaimanakah kebebasan Ketua Audit Negara dikekalkan?
Ketua Audit Negara dilantik dan bertanggungjawab kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, kebebasan Ketua Audit Negara diperjelaskan di dalam Seksyen 7, Akta Audit berkaitan dengan kuasa-kuasa Ketua Audit Negara seperti yang dinyatakan di atas.
14. Siapakah yang mengaudit Jabatan Audit Negara?
Secara umumnya, JAN juga tertakluk kepada pengauditan yang dijalankan oleh pihak Jabatan Akauntan Negara serta Unit Audit Dalam, JPM.
15. Apakah pengiktirafan yang telah diperolehi oleh Jabatan Audit Negara?
Jabatan Audit Negara telah dianugerahkan:
i. Sijil MS ISO 9001:2008 bagi pengauditan Penyata Kewangan dan Pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti) pada 4 September 2009.
ii. Sijil Penghargaan Projek Khas atas inisiatif Mempercepat Transformasi Digital dan Meningkatkan Kecekapan Perkhidmatan Audit Negara pada 24 November 2024.