faqhubungimaklumbalaspeta

logo audit

Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028

 

1.          PENGENALAN

  •  Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) merupakan kesinambungan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang pertama kali digubal pada tahun 2019 sebagai pelan yang komprehensif untuk menggembleng segala usaha menangani pelbagai isu berkaitan tatakelola, integriti, dan     pencegahan rasuah.

  •  Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 Bil. 1 Tahun 2023 pada 6 Julai 2023, yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, memutuskan untuk menggubal Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS). Langkah strategik ini, yang selari dengan piawai   antarabangsa, merupakan kesinambungan usaha NACP untuk memerangi rasuah dengan berkesan.

  •  Pembangunan NACS pada kali ini memfokuskan kepada kesejahteraan rakyat melalui agenda Malaysia MADANI. Matlamat NACS hanya akan dapat dicapai melalui kerjasama berterusan semua pihak termasuk ahli politik, sektor awam, sektor swasta, dan pertubuhan bukan Kerajaan. Manfaatnya bukan   sahaja akan dinikmati di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa, dengan tujuan supaya usaha tatakelola yang baik, berintegriti, dan pencegahan rasuah benar-benar dapat dirasai oleh rakyat.


    1.1       Strategi Utama NACS

  •  Lima (5) strategi utama telah dikenal pasti sebagai bidang-bidang yang perlu diberi fokus dalam pembanterasan rasuah hasil daripada penilaian risiko rasuah yang dilaksanakan semasa pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 yang menjadi tanda kepada usaha   komited ke arah negara bersih daripada gejala rasuah.
  • Lima (5) strategi utama yang difokuskan tersebut adalah seperti berikut:

(i)          Pendidikan;

(ii)        Kebertanggungjawaban Awam;

(iii)       Suara Rakyat;

(iv)      Penguatkuasaan; dan

(v)        Insentif

 

       1.2       Pelaporan NACS

  • Pelaporan Kemajuan Pelaksanaan NACS menggunakan sistem dalam talian iaitu r-NACS yang telah disediakan oleh Sekretariat Induk NACS. Laporan hendaklah dikemukakan oleh Agensi Pelapor sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Arahan YAB Perdana Menteri No.1 Tahun 2023 Siri 2 No.2 Tahun 2024 Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional.

  • Tempoh masa pelaporan adalah seperti berikut:

(i)          Suku tahun pertama (Januari - Mac) - sebelum atau 10 April

(ii)        Suku tahun kedua (April - Jun) - sebelum atau pada 10 Julai

(iii)       Suku tahun ketiga (Julai - September) - sebelum atau pada 10 Oktober

(iv)      Suku tahun keempat (Oktober - Disember) - sebelum atau pada 10 Januari tahun berikutnya

 

2.          SUBSTRATEGI NACS DI BAWAH JABATAN AUDIT NEGARA

  • Jabatan Audit Negara (JAN) sebagai Ketua Agensi Peneraju bertanggungjawab ke atas dua (2) substrategi di bawah NACS 2024-2028 yang melibatkan pelaksanaan substrategi dalam tempoh Mei 2024-Dis 2028.

             1)          Strategi 2: Kebertanggungjawaban Awam/Substrategi 14:

Substrategi 14: Meningkatkan keberkesanan tadbir urus seperti yang dicadangkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara melalui pemantauan berterusan menggunakan Papan Pemuka Ketua Audit Negara (Papan Pemuka AG).

 Tempoh Pelaksanaan: Sederhana

 

2)          Strategi 2: Kebertanggungjawaban Awam/Substrategi 16: 

Substrategi 16: Memantapkan tatakelola dan fungsi Audit Dalam di Perkhidmatan Awam.

Tempoh Pelaksanaan: Sederhana

 

3.          STATUS PENCAPAIAN SUBSTRATEGI NACS DI BAWAH JABATAN AUDIT NEGARA (SEHINGGA 31 DISEMBER 2024)

            1)          Strategi 2: Kebertanggungjawaban Awam 

Substrategi 14: Meningkatkan keberkesanan tadbir urus seperti yang dicadangkan di dalam Laporan Ketua Audit Negara melalui pemantauan berterusan menggunakan Papan Pemuka Ketua Audit Negara (Papan Pemuka AG).

-Sistem AGD merupakan salah satu skop di bawah Projek Pendigitalan Perkhidmatan Jabatan Audit Negara (PPJ) yang mula dilaksanakan pada tahun 2024. Selaras dengan Keputusan Jemaah Menteri pada 29 November 2024, JAN akan meneruskan proses peningkatan Sistem AGD pada tahun 2025 bagi memperkasa pemantauan penyelesaian isu dan pelaksanaan syor audit yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN). Sistem AGD ini merupakan satu inisiatif baharu yang dibangunkan oleh JAN bertujuan menyusul isu ketirisan dan ketidakcekapan dalam pengurusan kewangan kerajaan dan sumber negara serta melindungi kepentingan dana awam.

 

-Sistem AGD menyediakan platform digital yang komprehensif untuk memantau isu dan syor audit secara masa nyata, sekaligus mempercepatkan tindakan susulan isu berbangkit bagi agensi yang terlibat. Sistem ini telah dianugerahkan Sijil Penghargaan Projek Khas Mempercepatkan Transformasi Digital Dan Meningkatkan Kecekapan Perkhidmatan Audit Negara yang disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara semasa Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam pada 24 November 2024.

 

     2)          Strategi 2: Kebertanggungjawaban Awam

 Substrategi 16: Memantapkan tatakelola dan fungsi Audit Dalam di Perkhidmatan Awam.

-Arahan Ketua Audit Negara Bilangan 3 Tahun 2024 mengenai Garis Panduan Peranan Dan Tanggungjawab Pegawai Jabatan Audit Negara Yang Ditempatkan Di Unit Audit Dalam Kementerian/ Jabatan/ Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2024 adalah bertujuan untuk membolehkan Ketua Audit Negara memantau pegawai-pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) yang ditempatkan di Unit Audit Dalam (UAD) Kementerian/Jabatan/Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bagi mencapai matlamat seperti berikut:

(i)          Menangani secara komprehensif isu-isu audit yang dilaporkan dalam LKAN;

(ii)        Meningkatkan kualiti pelaporan UAD selaras kepada standard pengauditan sektor awam;

(iii)      Keseragaman gerak kerja audit antara JAN dengan UAD bagi mengelakkan sebarang pertindihan kerja; dan

(iv)      Sebagai rujukan untuk tujuan penyelarasan kerja pegawai UAD.

 

-Susulan pemakaian Garis Panduan tersebut, Kementerian Kewangan juga telah membuat pindaan terhadap Pekeliling Perbendaharaan PS 3.1: Pelaksanaan Audit Dalam Di Kementerian Atau Jabatan Persekutuan Dan Kerajaan Negeri berkuat kuasa 7 Oktober 2024. Pekeliling Perbendaharaan PS 3.1 terkini antara lain menetapkan Pegawai Audit Dalam yang terdiri daripada pegawai kader atau pinjaman JAN, hendaklah sentiasa tertakluk kepada arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara dari semasa ke semasa.

 

-Pelaksanaan Strategi ini melalui pemakaian Arahan Ketua Audit Negara dan Pekeliling Perbendaharaan bertujuan meningkatkan lagi keberkesanan impak pengauditan, mengelakkan pertindihan kerja pengauditan dan mengenal pasti bidang atau perkara yang perlu diaudit. Selain itu, pegawai UAD juga berperanan sebagai pegawai perhubungan (liaison officer) di organisasi bagi penemuan audit oleh JAN serta memastikan organisasi mengambil  tindakan pembetulan dan penambahbaikan terhadap isu-isu yang dilaporkan pada Sistem AGD.

 

 

  • Dikemaskini pada: 14 Feb 2025
  • Cetak
  • 1978

faqhubungimaklumbalaspeta