faqhubungimaklumbalaspeta

logo audit

Soalan Lazim

A. PENGAUDITAN

1. Apakah maksud pengauditan?

Pengauditan boleh ditakrifkan sebagai suatu pemeriksaan, analisa dan nilaian yang berterusan dan sistematik ke atas penyata kewangan, rekod, operasi dan pentadbiran sesuatu organisasi bagi menentukan samada prinsip-prinsip am perakaunan, polisi-polisi pengurusan, peraturan dan prosedur dipatuhi.


2. 
Mengapa pengauditan perlu dijalankan?

Pengauditan dijalankan bagi memastikan:

(i)kehendak undang-undang dan peraturan telah dipatuhi;

(ii)mendedahkan faktor atau elemen yang tidak mendorong kepada kecekapan, keberkesanan, dan ekonomi berhubung dengan perakaunan Negara;

(iii)memberi pendapat sama ada penyata kewangan menunjukkan satu kenyataan yang benar dan munasabah mengenai kedudukan dan ketepatan rekod-rekod mengikut piawaian pengauditan yang diterima pakai.


3. 
Apakah mandat bagi menjalankan pengauditan?

Mandat audit diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan diperincikan melalui Akta Audit 1957.


4. 
Siapakah yang melantik Ketua Audit Negara?

Ketua Audit Negara dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja mengikut Artikel 105 Perlembagaan Persekutuan.


5. 
Apakah tanggungjawab Ketua Audit Negara?

Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menggariskan tanggungjawab Ketua Audit Negara untuk mengaudit Akaun Kerajaan Persekutuan dan Negeri, Agensi Kerajaan, Pihak Berkuasa Awam Lain dan Badan-badan yang ditentukan dengan perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.


6. 
Apakah kuasa Ketua Audit Negara?

Ketua Audit Negara berkuasa penuh untuk mendapatkan segala maklumat dan keterangan serta penjelasan dalam menjalankan kewajipannya. Beliau berhak memeriksa semua dokumen dan boleh meminta individu tertentu memberi keterangan secara bersumpah serta memberi kuasa kepada mana-mana individu menjalankan penyiasatan dan pemeriksaan bagi pihak beliau. Di samping itu, Ketua Audit Negara juga boleh mendapatkan khidmat nasihat perundangan bagi menjalankan tugasnya. Segala keterangan dan maklumat yang didapati oleh Ketua Audit Negara berkaitan dengan kewajipannya adalah rahsia.


7. 
Apakah skop pengauditan yang dijalankan?

Pengauditan Penyata Kewangan - untuk mengesahkan penyata kewangan tahunan yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan/Negeri/Agensi Kerajaan bagi memenuhi keperluan undang-undang dan standard perakaunan. Melalui pengauditan ini Ketua Audit Negara akan memberi pendapat sama ada penyata yang disediakan menggambarkan kedudukan kewangan yang benar dan saksama serta rekod-rekod perakaunan mengenainya telah diselenggarakan dengan teratur dan dikemas kini.

Pengauditan Pematuhan - untuk menentukan sama ada pengurusan kewangan di Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan kewangan yang berkaitan.

Pengauditan Prestasi - untuk menilai sama ada sesuatu program/ aktiviti Kerajaan dilaksanakan dengan cekap, berhemat serta mencapai objektif yang ditetapkan.


8. 
Bagaimanakah proses pengauditan dijalankan?

Proses pengauditan dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu perancangan, pelaksanaan dan pelaporan.

Perancangan - Melibatkan 2 peringkat utama iaitu penyediaan rancangan audit tahunan dan anggaran belanjawan tahunan. Peringkat seterusnya ialah penyediaan Memorandum Perancangan Audit (APM) yang mana menggariskan butir-butir penting berkenaan strategi pengauditan. Selepas APM diluluskan, Program Audit disediakan untuk menunjukkan setiap langkah yang perlu di ambil serta memberikan anggaran masa bagi setiap langkah tersebut.

Pelaksanaan -  Pengauditan akan dijalankan berdasarkan Program Audit yang telah disediakan. Sebelum pengauditan dijalankan, entrance conference akan dibuat dengan pihak auditee untuk menjelaskan objektif, skop dan methodologi audit yang akan dijalankan.

Pelaporan - Pelaporan biasanya berhubung dengan Akaun dan aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan serta ulasan-ulasan dan cadangan-cadangan konstruktif Ketua Audit Negara. 


9. 
Siapakah yang diaudit?

Pengauditan dibuat terhadap 26 Kementerian dan 96 Jabatan Persekutuan, 13 Kerajaan Negeri, 120 Penyata Kewangan dan 12 Kumpulan Wang Badan Berkanun Persekutuan, 124 Badan Berkanun Negeri, 144 Pihak Berkuasa Tempatan, 15 Majlis Agama Islam, Kumpulan Wang Amanah, Akaun Amanah serta 496 Syarikat Kerajaan (di mana Kerajaan memiliki 50% atau lebih ekuiti).


10. 
Apakah jenis laporan yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara?

(i) Penyata Akaun Awam dan Pengurusan Kewangan Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan

(ii) Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan

(iii) Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri

(iv) Aktiviti dan Kajian Khas Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri

(v) Pengurusan Kewangan dan Aktiviti Badan Berkanun Persekutuan


11. 
Bagaimanakah proses Laporan Audit dikeluarkan?

(i)Perbincangan dan semakan pemerhatian Audit diadakan di pelbagai peringkat pegawai bagi memastikan pengauditan dilaksanakan mengikut standard, polisi dan prosedur yang ditetapkan serta mencapai objektif pengauditan;

(ii)Perbincangan dengan auditi melalui exit conference mengenai penemuan, penilaian, kesimpulan dan syor audit;

(iii) Draf Laporan Ketua Audit Negara berhubung perkara yang dilaporkan dikemukakan kepada Ketua Kementerian/Jabatan/Agensi untuk disemak. Maklum balas perlu dikemukakan dalam tempoh 2 minggu dari tarikh draf Laporan dihantar kepada Ketua Kementerian/Jabatan/Agensi berkenaan. Draf Laporan akan dimuktamadkan dengan mengambil kira maklum balas yang diterima daripada pihak agensi. 


12. 
Apakah jenis sijil yang dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara?

(i) Sijil Tanpa Teguran - Penyata Kewangan telah disediakan dan dipersembahkan mengikut piawaian yang diterima pakai, diamalkan secara konsisten, seragam serta pendedahan yang mencukupi.

(ii) Sijil Berteguran – Perkara material yang boleh menjelaskan kesaksamaan penyata kewangan dari aspek prinsip perakaunan yang digunakan, konsistensi atau had disebabkan kekangan skop pengauditan.

(iii)Sijil Bertentangan – Penyata kewangan tidak menunjukkan kedudukan yang benar dan saksama atau tidak mematuhi prinsip perakaunan yang diterima umum. Kesan perbezaan pendapat adalah material dan menyeluruh terhadap penyata kewangan dan pendapat berteguran tidak memadai untuk mendedahkan kekeliruan atau penyata kewangan tidak sempurna.

(iv)Sijil Penafian – Kesan yang mungkin timbul daripada kekangan skop pengauditan adalah material dan menyeluruh di mana bukti tidak mencukupi untuk memberi pendapat terhadap penyata kewangan.


13. 
Bagaimanakah kebebasan Ketua Audit Negara dikekalkan?

Ketua Audit Negara dilantik dan bertanggungjawab kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, kebebasan Ketua Audit Negara diperjelaskan di dalam Seksyen 7, Akta Audit berkaitan dengan kuasa-kuasa Ketua Audit Negara seperti yang dinyatakan di atas.


14. 
Siapakah yang mengaudit Jabatan Audit Negara?

Jabatan Audit Negara diaudit oleh Sektor Audit Kerajaan Persekutuan dan pasukan Naziran Jabatan Audit Negara bagi memastikan setiap transaksi mengikut peraturan yang ditetapkan. Teguran akan dibuat sekiranya peraturan tidak dipatuhi. Sebagai pengguna sistem eSPKB, Jabatan Audit Negara juga turut diperiksa oleh pasukan Naziran Akauntan Negara Malaysia.


15. 
Apakah pengiktirafan yang telah diperolehi oleh Jabatan Audit Negara?

Jabatan Audit Negara telah dianugerahkan Sijil MS ISO 9001:2008 bagi pengauditan Penyata Kewangan dan Pengauditan Pengurusan Kewangan (Indeks Akauntabiliti) pada 4 September 2009.


B.  UMUM


1. Bagaimanakah cara untuk memohon jawatan di Jabatan Audit Negara (JAN)?

Semua jawatan yang ditawarkan oleh Jabatan Audit Negara diuruskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Permohonan jawatan boleh dibuat melalui  pautan di bawah :

https://www.spa.gov.my/spa/laman-utama/pendaftaran-pekerjaan-spa9

JAN hanya menguruskan permohonan jawatan bagi Pembantu Am Pejabat (PAP) dan Pemandu Jabatan sahaja.  Sebarang maklumat lanjut mengenai kekosongan jawatan ini akan dimaklumkan melalui laman web Jabatan dari semasa ke semasa.


2.  Bagaimanakah caranya untuk memohon untuk menjalani latihan praktikal di Jabatan Audit Negara?

Kesemua permohonan untuk membuat latihan praktikal di JAN (termasuk di JAN negeri) perlulah dihantar kepada :

BAHAGIAN PENGURUSAN SUMBER MANUSIA
JABATAN AUDIT NEGARA
ARAS 1-9, BLOK F2 & F3,
KOMPLEKS F, PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN,
LEBUH PERDANA TIMUR, PRESINT 1,
62000 PUTRAJAYA.


3.   Bagaimanakah prosedur bagi memohon membuat lawatan ke Jabatan Audit Negara?

Sebarang permohonan lawatan ke JAN/AAN perlulah dimajukan kepada alamat seperti berikut di bawah :

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN AUDIT NEGARA
ARAS 1-9, BLOK F2 & F3,
KOMPLEKS F, PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN,
LEBUH PERDANA TIMUR, PRESINT 1,
62000 PUTRAJAYA.


4.    Di mana Laporan Ketua Audit Negara boleh diperolehi?

laporan_ketua_audit 

 

5. Kesemua LKAN boleh dimuat turun daripada website JAN melalui pautan berikut:

i. Kewangan
Kewangan

ii. Aktiviti
Aktiviti

iii. Syarikat
Syarikat

iv. Negeri
Negeri


6. Di manakah buku kecemerlangan pengurusan kewangan dari Perspektif Jabatan Audit Negara boleh diperolehi?

Buku ini boleh dibeli daripada mana-mana cawangan INTAN.


LATIHAN INDUSTRI


1. 
Apakah dasar atau peraturan yang boleh dirujuk berkaitan Latihan Industri?

(i) Surat Edaran JPA Bil. JPA(L)S. 175/4/4-2 bertarikh 24 Ogos 2011 – Elaun Bagi Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Mengikuti Latihan Amal Di Agensi Kerajaan; dan

(ii) Garis Panduan Dan Peraturan PengambilanDan PembayaranElaun PelajarInstitut Pengajian Tinggi Awam Dan SwastaYang Menjalani Latihan Industri Di Jabatan Audit Negara.


2. 
Siapakah yang layak untuk memohon Latihan Industri di Jabatan Audit Negara?

Merujuk kepada Garis Panduan Dan Peraturan PengambilanDan Pembayaran Elaun Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam Dan SwastaYang Menjalani Latihan Industri Di Jabatan Audit Negara, pelajar yang layak memohon adalah:

(i) Pelajar terdiri daripada Warganegara Malaysia sahaja;

(ii) Pelajar Institus Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang sedang Mangikuti pengajian di peringkat Diploma dan Ijazah di Malaysia; dan

(iii) Bidang pengajian pelajar adalah dalam jurusan yang berkaitan dengan bidang tugas di Jabatan ini seperti perakaunan, kewangan, pentadbiran pejabat, teknologi maklumat, sains komputer, kujuruteraan, kesetiausahaan, pengurusan sumber manusia dan lain-lain bidang yang berkaitan.


Untuk pertanyaan lanjut:
 

Sekiranya maklumat yang dicari tiada dalam senarai Soalan Lazim, mohon Tuan/Puan untuk menghubungi Jabatan Audit Negara di alamat email berikut:

jbaudit@audit.gov.my

  • Dikemaskini pada: 02 Aug 2024
  • Cetak
  • 8038

faqhubungimaklumbalaspeta