faqhubungimaklumbalaspeta

logo audit

Publications

Sesi Libat Urus Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General's Dashboard-AGD) Bersama Kerajaan Negeri Perak

WhatsApp Image 2026 01 23 at 10.27.22 WhatsApp Image 2026 01 23 at 10.27.23 WhatsApp Image 2026 01 23 at 10.27.23 1 WhatsApp Image 2026 01 23 at 10.27.23 2 WhatsApp Image 2026 01 23 at 10.27.24 WhatsApp Image 2026 01 23 at 10.27.24 1 WhatsApp Image 2026 01 23 at 10.27.26  

 

Jabatan Audit Negara (JAN) dengan kerjasama Unit Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak telah mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) pada 22 Januari 2026 berkaitan isu-isu yang telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dipaparkan dalam Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General's Dashboard-AGD). Sesi ini dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara.

Melalui sesi ini, sebanyak 10 isu telah berjaya diselesaikan merangkumi pengurusan projek penswastaan pihak berkuasa tempatan (PBT), Perak Industrial Resources Sdn. Bhd., pengurusan ladang sosial, pengurusan sisa pepejal Daerah Kinta dan pengurusan projek program khas perumahan Perwira. Hasil sesi libat urus ini, sejumlah RM1.36 juta berjaya dikutip semula daripada bayaran balik tunggakan cukai tanah, tunggakan kos pembangunan ladang dan tuntutan bayaran kerja tambahan.

Sesi Libat Urus ini merupakan inisiatif baharu JAN selaras dengan pindaan Akta Audit 1957, khususnya seksyen 9A yang memperuntukkan kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan susulan audit terhadap tindakan yang telah diambil oleh Persekutuan, Negeri, pihak berkuasa awam atau badan yang ditentukan terhadap syor, ulasan atau pandangan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Turut hadir ke sesi ini YB Dato' Ahmad Suaidi bin Abdul Rahim, Setiausaha Kerajaan Negeri; YB Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin, Penasihat Undang-undang Negeri; YB Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin, Pegawai Kewangan Negeri; YBhg. Dato’ Nor Sham binti Rahman, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan); dan Puan Halizah binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan).

Turut hadir daripada pihak JAN adalah Encik Azman bin Mahmood, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan); Puan Norliza binti Md. Nuruddin @ Nordin, Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi); Puan Noor Rita binti Kassim, Pengarah Bahagian Susulan Audit; dan Encik Abd Aziz bin Che Daud, Pengarah Audit Negeri Perak.

 

  • Modified on: 22 Jan 2026
  • Print
  • 683