Sesi Libat Urus Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General's Dashboard-AGD) Bersama Kerajaan Negeri Kelantan
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Jabatan Audit Negara (JAN) dengan kerjasama Unit Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan telah mengadakan sesi libat urus pada 21 September 2025 berkaitan isu-isu yang telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2019 hingga 2024 Negeri Kelantan yang dipaparkan dalam Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General's Dashboard-AGD). Sesi libat urus telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara.
Sebanyak 12 isu telah diselesaikan yang melibatkan 3 LKAN bagi tahun 2021 hingga 2024 iaitu 3 isu bagi Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar, 2 isu bagi Pengurusan Pemberimilikan Tanah Kerajaan, 2 isu bagi Pembangunan Hartanah Komersial Secara Usaha Sama Oleh Pihak Berkuasa Tempatan, 1 isu bagi Tunggakan Hasil Rumah Awam Kos Rendah, 1 isu bagi Kutipan Hasil Sewaan Premis dan 3 isu bagi Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn. Bhd.
Impak kepada sesi libat urus ini sebanyak RM5.97 juta telah dapat dikutip dari sewaan premis dan Hartanah menjadikan jumlah hasil dari Negeri Kelantan adalah sebanyak RM24.77 juta.
Selain itu, YBhg Dato’ Seri Ketua Audit Negara turut meminta Kerajaan Negeri mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan 1 isu LKAN Tahun 2019 Siri 1 bagi PMBK Development Sdn. Bhd. dan 2 isu LKAN Tahun 2019 Siri 2 bagi Pengurusan Ubah Syarat dan Pemantauan Syarat Kegunaan Tanah.
Sesi libat urus ini merupakan inisiatif baharu JAN selaras dengan pindaan Akta Audit yang telah diluluskan pada tahun 2024. Seksyen baharu 9A memperuntukkan kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan susulan audit dan mengkaji semula tindakan yang telah diambil terhadap syor, ulasan dan pandangan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara.
Turut hadir ke sesi ini YBM Tengku Kaya Perkasa Dato' Dr Tengku Mohamed Faziharudean b. Tengku Feissal, Setiausaha Kerajaan Negeri; YB. Dato’ Hj. Idham bin Hj. Ab. Ghani, Penasihat Undang-Undang Negeri; YB. Dato Rosnazli Bin Haji Amin, Pegawai Kewangan Negeri dan YBrs. En Azman bin Mahmood, Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat).