Jabatan Audit Negara (JAN) di Peringkat Antarabangsa: Mesyuarat ke 62 Lembaga Pengelola
ASIAN Organization Of Supreme Audit Institutions (ASOSAI)
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
BAKU, 17 Julai 2025 - YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara Malaysia telah menghadiri Mesyuarat ke-62 Lembaga Pengelola Asian Organization of Supreme Audit Institutions (ASOSAI) pada 16 hingga 17 Julai 2025. Kehadiran beliau adalah selaku ahli Lembaga Pengelola ASOSAI yang terpilih dari kalangan 11 Institusi Audit Tertinggi (SAI) Asia.
ASOSAI merupakan salah satu daripada tujuh (7) institusi serantau di bawah International Organization of Supreme Audit Institutions (INTOSAI) dengan jumlah keahlian sebanyak 46 SAI dari seluruh rantau Asia.
Mesyuarat ini bersidang bagi menentukan hala tuju strategik ASOSAI melalui pelaksanaan dasar, pengukuhan kerjasama serantau serta penyelarasan inisiatif pembangunan kapasiti dalam kalangan negara anggota.
Selain itu, Ketua Audit Negara Malaysia juga telah membentangkan laporan ASOSAI Working Group on State-Owned Enterprises Audit (WGSOEA) yang dipengerusikan oleh Malaysia sejak tahun 2025. Mesyuarat kumpulan kerja tersebut buat julung kalinya diadakan pada 26 hingga 28 Mei 2025 di Putrajaya. Kepimpinan Malaysia, melalui Jabatan Audit Negara, sebagai peneraju WGSOEA mencerminkan keyakinan tinggi negara anggota ASOSAI terhadap keupayaan SAI Malaysia dalam menerajui agenda tadbir urus sektor awam rantau Asia. Kumpulan Kerja yang dianggotai oleh 32 negara ahli ASOSAI ini akan membangunkan Garis Panduan Pengauditan Syarikat Kerajaan sebagai panduan komuniti audit antarabangsa.
Dalam mesyuarat tersebut, Malaysia juga telah diumumkan sebagai tuan rumah bagi Program Pembangunan Kapasiti ASOSAI untuk tahun 2026. Selain itu, Malaysia juga terpilih sebagai salah satu ahli jawatankuasa Semakan Semula Peraturan dan Prosedur ASOSAI. Jawatankuasa ini turut dianggotai oleh India, China, Azerbaijan, Pakistan dan Thailand.
Dalam rangka lawatan singkat tersebut, Ketua Audit Negara juga telah mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawat dari tujuh (7) buah negara iaitu Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, China, India, Thailand, Pakistan dan Korea Selatan. Perbincangan dua hala ini tertumpu kepada pelbagai bentuk pemantapan kerjasama strategik antara Malaysia dengan negara-negara berkenaan, khususnya dalam tadbir urus sektor awam selaras dengan perkembangan teknologi semasa serta meningkatkan profesionalisme dan kompetensi juruaudit JAN di peringkat antarabangsa.
Penyertaan aktif Jabatan Audit Negara dalam platform pengauditan antarabangsa bukan sahaja mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mempertingkatkan ketelusan dan akauntabiliti sektor awam, malah memperkukuh kedudukan negara sebagai rakan strategik dalam memacu pembaharuan serta pembangunan agenda pengauditan di peringkat global.