Seminar Perakaunan Pengurusan 2025
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara telah menyempurnakan perasmian Seminar Perakaunan Pengurusan Tahun 2025 anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dengan menyampaikan ucapan mewakili Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar.
Menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh YBhg. Dato’ Seri Ketua Audit Negara, YBhg Tan Sri KSN menegaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah membangkitkan isu-isu pengurusan kewangan kerajaan yang dibahaskan secara umum oleh rakyat dan pihak-pihak berkepentingan namun isu penyelewengan dan pembaziran sumber awam masih berlaku.
Jika dibiarkan, isu-isu ini akan menjadi semakin kompleks dan tiada penyelesaian yang tuntas, seterusnya menjejaskan kredibiliti dan persepsi masyarakat terhadap penjawat awam secara umumnya.
Penjawat awam perlu memastikan ketelusan, integriti, kebertanggungjawaban yang menjadi teras kepada prinsip-prinsip dalam tatakelola dan etika.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan meminda Akta Audit 1957 yang merupakan inisiatif penting bagi memperkukuh skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam. Pindaan ini bukan sahaja memperluas kuasa audit, malah memastikan setiap syor yang dikemukakan dalam LKAN diberikan perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi serta mana-mana badan dan syarikat yang menerima dana awam.
Seminar bertemakan “Perakaunan Pengurusan: Daripada Data Kepada Pembuatan Keputusan” ini menghimpunkan kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam termasuk Akauntan Negara Malaysia, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Eksekutif Badan Berkanun serta pengurusan daripada 28 kementerian dan agensi.
Turut hadir ialah YBrs. Tuan Ramzi bin Mansor, Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan YBrs. Puan Nor Yati binti Ahmad, Akauntan Negara Malaysia.