Sesi Perbincangan Media Berhubung Indeks Persepsi Rasuah (CPI)
![]() |
![]() |
YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara hadir ke Sesi Perbincangan Media Berhubung Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 15 Januari 2025 (Rabu) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. Perbincangan ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN).
Sesi ini antara lain membincangkan perancangan input serta gerak kerja media bagi memperkasa hebahan tentang usaha pengukuhan tatakelola dan anti rasuah di peringkat nasional di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.
JAN, selaku Agensi Peneraju di bawah NACS 2024-2028 bagi Substrategi 16, iaitu Memantapkan Tatakelola dan Fungsi Audit Dalam di Perkhidmatan Awam, telah mencapai sasaran inisiatif melalui penghasilan Garis Panduan Peranan dan Tanggungjawab Pegawai Jabatan Audit Negara Yang Ditempatkan di Unit Audit Dalam Kementerian/ Jabatan/ Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.
Pelaksanaan substrategi ini, menerusi pemakaian Garis Panduan dan Pekeliling Perbendaharaan, bertujuan meningkatkan keberkesanan impak pengauditan, mengelakkan pertindihan tugas, serta mengenal pasti bidang atau perkara yang perlu diaudit. Langkah ini secara langsung memperkukuh tatakelola pengurusan pengauditan dalam perkhidmatan awam secara menyeluruh.
Kredit foto: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)