Mesyuarat Pembukaan Bagi Pengauditan Prestasi Bertemakan Perubahan Iklim
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara (KAN) telah mempengerusikan Mesyuarat Pembukaan bagi Pengauditan Prestasi buat julung kalinya bertemakan Perubahan Iklim pada 18 Oktober 2024 di Bilik Mesyuarat Perdana, Jabatan Audit Negara.
Mesyuarat Pembukaan ini bertujuan untuk memulakan gerak kerja pengauditan prestasi bertemakan Perubahan Iklim yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh YBhg. Dato Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, YBhg. Datuk Dr. Ching Thoo a/l Kim Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, YBhg. Dato’ Luqman bin Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Makro), Kementerian Ekonomi dan YBhg. Datuk Nor Salwani bin Muhammad, Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi).
Mesyuarat telah dihadiri oleh Ketua Pengarah dan pegawai kanan dari 10 Kementerian, 17 Jabatan/Agensi dan satu yayasan iaitu seramai 41 pegawai. Semasa mesyuarat tersebut, YBhg. Datuk Ketua Audit Negara telah memaklumkan Kerajaan telah mengambil langkah untuk menangani isu perubahan iklim melalui projek dan program dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan Rancangan Malaysia Ke-12. Tumpuan akan terus diberi kepada usaha melonjakkan kemampanan dalam menangani perubahan iklim melalui tindakan mitigasi dan adaptasi. Jabatan Audit Negara melalui pengauditan prestasi ini akan menilai sama ada program dan projek tersebut telah dilaksanakan secara ekonomik, cekap dan berkesan bagi mencapai objektif yang ditetapkan.