Webinar Jabatan Audit Negara (JAN) bertajuk Masa Depan Kita : Menghadapi Cabaran Perubahan Iklim
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Akademi Audit Negara telah menganjurkan Webinar Jabatan Audit Negara (JAN) bertajuk Masa Depan Kita : Menghadapi Cabaran Perubahan Iklim pada 14 Oktober 2024.
Webinar yang dikendalikan oleh YBrs. Tuan Haji Y Hamdan Mohd Dom, Pengarah Audit Prestasi Bahagian I, Sektor Audit Prestasi, JAN menghimpunkan tiga ahli panel daripada Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Dalam ucapan peluncurannya, YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara menekankan kepentingan peranan JAN dalam memastikan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara adalah selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12. JAN bertanggungjawab mengaudit dan memantau aktiviti yang dilaksanakan bagi memastikan rakyat menerima manfaat daripada inisiatif pembangunan yang dilaksanakan. Melalui pengawasan yang ketat dan pelaporan yang telus, JAN dapat membantu memastikan inisiatif pembangunan mampan dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak positif kepada masyarakat.
Sebelum itu, YBhg. Dato’ Mohammad Faez Azmi, Pengerusi SC telah menyampaikan ucapan pembukaan terkait peranan SC dalam konteks perubahan iklim. Dalam ucapan tersebut, beliau menyatakan langkah adaptasi dan mitigasi terhadap perubahan iklim memerlukan strategi yang jelas terhadap pelaburan dan operasi syarikat. Penekanan terhadap keperluan mendefinisikan kategori serta kriteria pelaburan adalah penting untuk meningkatkan kefahaman dan panduan kepada para pelabur untuk membuat keputusan. Pihak SC sentiasa mendorong syarikat untuk menyediakan laporan yang telus dan menyeluruh mengenai usaha mencapai kelestarian serta menangani isu-isu perubahan iklim berdasarkan piawaian yang dikeluarkan.
Webinar ini telah dihadiri 433 orang pegawai daripada Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara, Jabatan Audit Negara Negeri dan Unit Audit Dalam Kementerian serta Jabatan.
![]() |
![]() |
![]() |