Pelancaran Logo Rasmi 120 Tahun Jabatan Audit Negara (JAN)
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Jabatan Audit Negara (JAN) telah melancarkan Logo Rasmi 120 Tahun sebagai identiti utama bagi meraikan pencapaian dan legasi Jabatan sepanjang 120 tahun penubuhannya.
Majlis pelancaran yang berlangsung pada 28 November 2025 di Putrajaya ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara, sebagai persediaan menjelang Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun JAN yang akan diadakan pada 26 Januari 2026 dan bakal dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.
Logo berunsurkan simbol infiniti ini menggambarkan kesinambungan, ketelusan dan komitmen warga JAN terhadap pelaksanaan audit berkualiti. Sambutan ulang tahun akan turut merangkumi pelbagai program dan aktiviti bagi meningkatkan kefahaman umum serta menyokong usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Penarafan Bintang dan Anugerah Bangunan Terbaik JAN Tahun 2025, yang menilai prestasi JAN Negeri berdasarkan kriteria seperti budaya hijau, kreativiti dan inovasi, ruang kerja, keselamatan persekitaran dan sudut galeri jabatan.
Bagi tahun 2025, bangunan JAN Melaka, JAN Pahang, JAN Terengganu dan JAN Sabah menerima penarafan lima bintang, manakala JAN Pulau Pinang dinobatkan sebagai juara keseluruhan serta penerima Anugerah Bangunan Terbaik JAN.
Turut hadir ialah Encik Azman Mahmood, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan); Puan Norliza Md Nuruddin@Nordin, Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi); Encik Azunan Daud, Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat Kerajaan); serta pegawai-pegawai Jabatan Audit Negara.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |








