Sesi Penyerahan Perakuan dan Pandangan Ketua Audit Negara Mengenai Pengauditan Syarikat Di Bawah Kawal Selia Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melalui Sistem e-SelfAudit Bagi Tahun 2025
YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara (KAN) telah bersetuju menyerahkan Perakuan dan Pandangan Ketua Audit Negara Mengenai Pengauditan Syarikat Melalui Sistem e-SelfAudit Bagi Tahun 2025 pada 18 November 2025 (Selasa) kepada 11 anak syarikat di bawah kawal selia agensi induk, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Syarikat-syarikat tersebut terdiri daripada UiTM Holdings Sdn. Bhd., UiTM Private Education Sdn. Bhd., UiTM Technoventure Sdn. Bhd., UiTM Art & Design Sdn. Bhd., UiTM Private Healthcare Sdn. Bhd., UiTM Terengganu Services Sdn. Bhd., UiTM Hospitality Management Services Sdn. Bhd., UiTM Energy & Facilities Sdn. Bhd., UiTM Solar Power Dua Sdn. Bhd., Go Energy Sdn. Bhd. dan Section One Sdn. Bhd.
Pelaksanaan pengauditan melalui Sistem e-SelfAudit yang diperkenalkan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) awal tahun 2025 ini adalah berperanan untuk mewujudkan pembudayaan audit yang lebih kukuh dalam pengurusan kewangan Syarikat Kerajaan. Pengauditan ini melibatkan 850 syarikat Kerajaan Persekutuan daripada 1,856 badan lain termasuk syarikat yang diwartakan di seluruh Malaysia.
Pihak UiTM telah diwakili oleh YBhg. Prof. Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, YBhg. Dato' Mohd Shukrie bin Mohd Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UiTM Holdings Sdn. Bhd.; Prof. Madya Dr. Mior Harris bin Mior Harun, Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Private Education Sdn. Bhd.; dan Prof. Ir. Dr. Rozita binti Jailani, Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Technoventure Sdn. Bhd.
Turut hadir dalam sesi ini adalah Encik Azman bin Mahmood, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan) dan Encik Allias bin Alwi, Timbalan Pengarah Audit Sektor Audit Pengurusan Syarikat Kerajaan JAN.