Sesi Libat Urus Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General’s Dashboard – AGD) Bersama Kerajaan Negeri Pahang
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Jabatan Audit Negara (JAN) dengan kerjasama Unit Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah mengadakan sesi libat urus pada 28 Julai 2025 berkaitan isu-isu yang telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) tahun 2018 hingga 2024 melibatkan Negeri Pahang yang dipaparkan dalam Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General's Dashboard-AGD).
Sesi libat urus tersebut telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara.
Sebanyak 7 isu telah diselesaikan yang melibatkan LKAN bagi tahun 2019 hingga 2022 iaitu 1 isu bagi Pengurusan Aktiviti Pembangunan Kawasan Tanah Tinggi, Bukit dan Cerun di Daerah Bentong, 2 isu bagi Pembayaran Elaun Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, 1 isu bagi Pembangunan Projek Hartanah Komersial dan 3 isu bagi Pengurusan Air Pahang Berhad.
Sesi libat urus ini merupakan inisiatif JAN, selaras dengan pindaan Akta Audit yang telah diluluskan pada tahun 2024. Seksyen baharu 9A telah memperuntukkan Ketua Audit Negara boleh pada bila-bila masa mengemukakan laporan mengenai audit susulan kepada Yang di-Pertuan Agong, dan boleh mengemukakan salinan laporan sedemikian kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu Negeri atau kepada Menteri.
Turut hadir ke sesi ini ialah YB Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; YBhg. Dato’ Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Pahang; YB Dato’ Indera Haji Fadzilla bin Haji Salleh, Pegawai Kewangan Negeri; YBhg. Datuk Patimah binti Ramuji, Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan); dan YBrs. En Azman bin Mahmood, Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat).