Sesi Libat Urus Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) Bersama Kerajaan Negeri Johor
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Jabatan Audit Negara (JAN) dengan kerjasama Unit Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor telah mengadakan Sesi Libat Urus Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General’s Dashboard – AGD) pada 28 Julai 2025 di Dewan Mesyuarat, Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar Johor.
Sesi ini membincangkan isu-isu yang telah dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi tahun 2019 hingga 2022 yang melibatkan Negeri Johor dan dipaparkan dalam AGD. Sesi ini telah dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara dan YB Dato’ Haji Asman Shah bin Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.
Sebanyak 12 isu telah berjaya diselesaikan, merangkumi 9 LKAN dari tahun 2019 hingga 2022, antaranya:
- Pengurusan Pembinaan Bangunan Pejabat Majlis Perbandaran Muar
- Pembangunan Hartanah Industri
- Pembangunan dan Naik Taraf Sistem eStrata
- Program Saliran Mesra Alam Negeri Johor
- Pembangunan Hartanah Komersial
- Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn. Bhd
- Program Bandar Selamat oleh PBT Negeri Johor
- Program Perumahan Rakyat (PPR)
- Rumah Sewa Kerajaan (RSK) Negeri Johor
Selain itu, sesi turut membincangkan hala tuju dan kaedah penyelesaian bagi isu-isu dalam LKAN 2016 (Siri 2) dan LKAN 2020 (Siri 1), melibatkan:
- Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti
- Pengurusan Penyenggaraan Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar
Sesi ini merupakan inisiatif baharu selaras dengan pindaan Akta Audit 2024, khususnya Seksyen 9A, yang memperuntukkan kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengemukakan laporan audit susulan kepada Yang di-Pertuan Agong, serta salinan kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri dan Menteri.
Turut hadir ke sesi ini YBhg. Datuk Patimah binti Ramuji; YB Dato’ Haji Mohammed Ridha bin Dato’ Haji Abd Kadir,Pegawai Kewangan Negeri; YB Dato’ Haji Ismail bin Haji Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan); dan YBrs. Tuan Haji Ahmad Nazir bin Haji Mohd Nasir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan).