Majlis Peluncuran Persidangan Juruaudit ASEAN 2025
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Buat julung kalinya, Jabatan Audit Negara (JAN) menganjurkan Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 pada 27–28 Mei di PICC, selaras dengan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan pelantikan Ketua Audit Negara sebagai Pengerusi Jawatankuasa Audit ASEAN.
Persidangan ini menghimpunkan seramai 2,243 orang peserta daripada sektor awam dan swasta serta menyaksikan penyertaan peserta negara serantau dan antarabangsa dengan kehadiran beberapa Ketua Institusi Audit Tertinggi (Supreme Audit Institution – SAI) negara ASEAN dan Asia termasuk SAI Brunei, SAI Filipina, SAI Kemboja, SAI Lao PDR, SAI Maldives dan SAI Yaman.
Majlis perasmian disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara. Ucapan perasmian beliau yang dibacakan oleh YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara menyeru kerjasama serantau dalam memperkukuh tatakelola dan integriti, memanfaatkan teknologi serta meningkatkan kedudukan ASEAN dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI). Beliau turut menekankan peranan penting Institusi Audit Tertinggi (SAI) dalam memperkukuh daya tahan ekonomi dan memastikan pelaksanaan reformasi yang berkesan.
Bertemakan “Inclusive and Sustainable Auditing for a Progressive ASEAN”, persidangan ini memfokus kepada audit masa depan melalui digitalisasi, ESG dan audit susulan.
Persidangan ini turut menampilkan H.E. Dr. Kao Kim Hourn, Setiausaha Agung ASEAN yang telah menyampaikan ucaptama melalui rakaman video. Dalam ucapannya, beliau mengiktiraf kebolehpercayaan peranan juruaudit dalam sektor awam, swasta dan audit dalaman selain menyeru kerjasama serantau dan rentas sektor untuk membina profesion audit yang berwibawa dan dipercayai.
Satu daripada program utama Persidangan adalah Sesi Dialog Tertinggi dengan topik perbincangan, Meningkatkan Pengaudiatan Sektor Awam Melalui Susulan Audit (Enhancing Public Sector Auditing Through Follow-up Audit) yang melibatkan ahli panel terdiri daripada YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara Malaysia; H.E. Mr. Gamaliel Asis Cordoba, Pengerusi Suruhanjaya Audit, Filipina dan YBrs. Encik Pranoto, Ketua Pengarah VII, Badan Pemeriksa Keuangan Republik Indonesia. Fokus perbincangan adalah perkongsian pengalaman negara masing-masing dalam melaksanakan susulan audit dan kepentingan susulan audit sebagai satu inisiatif dalam memacu reformasi dasar dan meningkatkan kepercayaan awam.
Penganjuran Persidangan Juruaudit ASEAN 2025 disokong oleh pelbagai rakan strategik termasuk badan profesional dan firma audit global seperti Institut Akauntan Malaysia (MIA), Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA), Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM) serta Deloitte, Ernst & Young (EY), Klynveld Peat Marwick Goerdeler (KPMG) dan PricewaterhouseCoopers (PwC).
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |