Program AI For MYFuture
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara, telah meluncurkan Program AI For MYFuture di Auditorium Ahmad Noordin, Akademi Audit Negara pada 14 Mac 2025. Majlis ini telah disertai seramai 840 orang pegawai Jabatan Audit Negara (JAN) secara bersemuka dan dalam talian.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Nor Salwani binti Muhammad, Timbalan Ketua Audit Negara (Prestasi); YBrs. Encik Azman bin Mahmood, Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat); YBrs. Ir. Kuhan Patty, Pengasas dan Pengarah Pepper Labs; dan Cik Adillah binti Junid, Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang dan Kerajaan Microsoft Malaysia.
Dalam ucapan perasmian beliau, YBhg. Dato’ Seri Ketua Audit Negara menekankan bahawa sebagai institusi pengauditan terkemuka negara, JAN memegang peranan penting dalam memastikan ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus yang berkesan. Justeru, dengan kemajuan pesat dalam dunia digital, tanggungjawab juruaudit juga perlu berkembang sejajar dengan perubahan zaman.
Kerjasama antara JAN, Pepper Labs, dan Microsoft Malaysia amat penting melalui program latihan dan pensijilan yang terstruktur, bagi memastikan pegawai JAN memperoleh kecekapan dalam bidang AI, memanfaatkan analitik berasaskan data, serta mengoptimumkan proses audit. Kerjasama ini selaras dengan komitmen terhadap dasar nasional yang menyokong pemerkasaan ekonomi, inovasi, dan pembangunan mampan.