Program INTAN Mind Share-Seminar Audit: Antara Arahan vs Amalan Seminar Audit
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara mengadakan Lawatan Kerja ke Johor pada 31 Julai dan 1 Ogos 2024.
Lawatan kerja ini dimulakan dengan memenuhi undangan sebagai panel Program INTAN Mind Share-Seminar Audit: Antara Arahan vs Amalan Seminar Audit bertemakan “Peranan Ketua Audit Negara Dalam Memperkasa Pengamalan Tatakelola Baik Dalam Sektor Perkhidmatan Awam” anjuran INTAN Kampus Wilayah Selatan (IKWAS) di Dewan Jemerlang, IKWAS, Kluang, Johor.
Program yang disertai seramai lebih 840 orang peserta yang terdiri daripada Ketua Jabatan dan Agensi Kerajaan bagi Negeri Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ini merupakan platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman mengenai peranan dan sumbangan audit dalam melonjakkan imej dan tahap perkhidmatan penjawat awam sejajar dengan konsep Malaysia MADANI.
Dalam sesi beliau, Ketua Audit Negara telah menekankan bahawa memperkukuh tatakelola baik dalam Sektor Perkhidmatan Awam merupakan jaminan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap dan efisien, membanteras dan membendung ketirisan dana awam serta penyalahgunaan kuasa secara berleluasa di kalangan penjawat awam demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat.
Turut hadir ke seminar tersebut ialah YBhg. Datuk Dr. Haniff Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Kanan INTAN dan YBrs. Encik Mohd Hairul Anuar Bohro, Pengarah Wilayah INTAN Kampus Wilayah Selatan (IKWAS).
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |