Rang Undang-undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 Diluluskan oleh Dewan Negara
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 telah diluluskan sebulat suara di Dewan Negara pada 24 Julai 2024 setelah dibacakan buat kali kedua dan ketiga oleh YB Tuan M.Kulasegaran a/l V.Murugeson, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
Sebelum itu, Sesi Libat Urus Ketua Audit Negara Bersama Ahli-Ahli Dewan Negara yang diketuai oleh YB Senator Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara bagi maksud pembentangan dan memberikan penerangan tentang intipati Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) telah diadakan pada 23 Julai 2024.
Pindaan Akta Audit 1957 ini akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam di samping memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan, serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.
Jabatan Audit Negara ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada 21 orang Yang Berhormat Senator yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Audit (Pindaan) 2024 dengan memberi syor dan pandangan demi kepentingan negara berkaitan pengurusan wang awam. Terima kasih juga kepada seluruh ahli dewan yang menyokong pindaan RUU ini.
YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara hadir di Parlimen bagi mengikuti sesi perbahasan ini. Turut hadir adalah Timbalan-Timbalan Ketua Audit Negara dan pegawai Jabatan Audit Negara yang terlibat dalam pindaan Akta Audit 1957 [Akta 62].