Sesi Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pengurusan Dan Warga Jabatan Audit Negara
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia telah melawat Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara (JAN) hari ini, 1 September 2023. Beliau telah disambut oleh Ketua Audit Negara, YBhg. Datuk Wan Suraya binti Wan Mohd Radzi diiringi Timbalan Ketua Audit Negara (Kewangan), YBhg. Datuk Nor Salwani binti Haji Muhammad dan Timbalan Ketua Audit Negara (Syarikat Kerajaan), YBrs. Tuan Haji Roslan bin Abu Bakar.
Ini merupakan lawatan Perdana Menteri yang julung kali diadakan ke JAN sejak penubuhannya pada tahun 1906.
Dalam amanat beliau, YAB telah menekankan bahawa Kerajaan akan meneruskan perbahasan Laporan Ketua Audit Negara di Parlimen selepas ia dibentangkan kelak pada bulan Oktober 2023. Ini bagi membolehkan sebarang kelemahan atau pelanggaran yang ditemui, dapat dibaiki dan diperbetulkan, manakala sebarang penyalahgunaan kuasa diambil tindakan.
YAB PM kemudian mengumumkan bahawa beliau memutuskan untuk meningkatkan peranan dan bidang tugas Jabatan Audit Negara bukan sahaja merangkumi pemahaman tentang pengauditan dalam konteks sekarang, tetapi juga untuk meliputi kerangka tugas ombudsmen atau hisbah. Melalui peningkatan ini, beberapa kaedah baharu akan diperkenal dan diperkuatkan supaya jelas, serta dibawa ke Jemaah Menteri terlebih dahulu.
Turut hadir pada majlis yang sama, YBhg. Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri dan YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |