Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Jabatan Audit Negara
Akademi Audit Negara (AAN) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) telah menganjurkan Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI Jabatan Audit Negara (JAN) Tahun 2024 pada 8 hingga 10 November 2024 bertempat di Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Sepri, Rembau, Negeri Sembilan.
Kursus ini telah dihadiri seramai 61 orang pegawai kanan JAN daripada Ibu Pejabat Jabatan Audit Negara Putrajaya, Cawangan JAN Negeri dan Setiausaha Bahagian serta Ketua Unit Audit Dalam pelbagai Kementerian.
Majlis Penutup Kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Dato' Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara pada 10 November 2024 dan turut dihadiri Timbalan-timbalan Ketua Audit Negara dan YBhg. Datuk TPj. Kehormat (PA) Haji Mohd Haswandi Haji Ahmad, Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia. Sebelum itu, Dato' Seri KAN sempat menyempurnakan solat subuh berjemaah bersama peserta Kursus.
Dalam ucapan penutup beliau, YBhg. Dato' Seri KAN menyatakan keperluan pegawai JAN untuk menghayati dan memperkukuhkan kefahaman masing-masing mengenai prinsip-prinsip Malaysia MADANI yang mendasari usaha membentuk negara yang harmoni, adil dan bersatu padu.
Sebagai juruaudit, adalah menjadi tanggungjawab warga JAN untuk memastikan bahawa prinsip-prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti terus dipegang teguh dengan pelaporan audit yang tepat dan berwibawa. Misi JAN bukan sahaja untuk menilai penggunaan dana awam tetapi juga memastikan keberkesanan sistem pentadbiran dan perbelanjaan negara.
Beliau juga berharap agar Rukun Malaysia MADANI dan intipati kenegaraan yang dicurahkan semasa kursus ini dapat memenuhi matlamat untuk membina warga JAN yang berwawasan, patriotik dan berintegriti tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab.
Kerjasama JAN dengan Akademi Kenegaraan Malaysia akan diperkukuhkan bagi memastikan Jabatan Audit Negara terus ke hadapan dalam melahirkan juruaudit yang berwibawa, mempunyai nilai patriotisme yang tinggi dan menjalankan tugas dengan adil dan bertanggungjawab.