| Perkara 105: Ketua Audit Negara |
| (1) |
Maka hendaklah ada seorang Ketua Audit Negara, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja |
| (2) |
Seseorang yang telah memegang jawatan Ketua Audit Negara layak dilantik semula tetapi tidaklah layak dilantik bagi apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan atau bagi apa-apa pelantikan dalam perkhidmatan sesuatu Negeri |
| (3) |
Ketua Audit Negara boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan. |
| (4) |
Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Ketua Audit Negara, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan. |
| (5) |
Saraan dan terma lain jawatan (termasuk hak pencen) bagi Ketua Audit Negara tidaklah boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya. |
| (6) |
Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, terma dan syarat perkhidmatan Ketua Audit Negara hendaklah ditentukan melalui undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan, oleh Yang di-Pertuan Agong. |