Sesi Libat Urus Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General’s Dashboard – AGD) Bersama Kerajaan Negeri Kedah
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
![]() |
Jabatan Audit Negara (JAN) dengan kerjasama Unit Audit Dalam, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah mengadakan Sesi Libat Urus (SLU) pada 14 Disember 2025 bagi membincangkan isu-isu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Negeri Kedah bagi tahun 2019 hingga 2024 yang dipaparkan dalam Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (Auditor General’s Dashboard – AGD). Sesi ini dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Audit Negara.
Melalui sesi ini, sebanyak 17 isu utama telah berjaya diselesaikan merangkumi pelbagai aspek pengurusan dan tadbir urus. Hasil daripada sesi libat urus yang dilaksanakan secara konstruktif dan berfokus, sejumlah RM15,924 telah berjaya dikutip semula di Negeri Kedah, sekali gus mencerminkan keberkesanan susulan audit terhadap pendekatan penyelesaian secara berhemah dan berintegriti.
Sesi Libat Urus ini merupakan inisiatif baharu JAN selaras dengan pindaan Akta Audit 1957, khususnya seksyen 9A yang memperuntukkan kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk menjalankan susulan audit terhadap tindakan yang telah diambil oleh Persekutuan, Negeri, pihak berkuasa awam atau badan yang dintentukan terhadap syor, ulasan atau pandangan yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara.
Turut hadir ke sesi ini YB Dato’ Seri Haji Norizan bin Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri. Turut hadir daripada pihak JAN adalah Puan Noor Rita binti Kassim, Pengarah Bahagian Susulan Audit dan Puan Mazmiza binti Mihat, Pengarah Audit Negeri Kedah.





