Perlembagaan Persekutuan

  • Cetak

 

 

 

Perkara 105: Ketua Audit Negara
(1) Maka hendaklah ada seorang Ketua Audit Negara, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja
(2) Seseorang yang telah memegang jawatan Ketua Audit Negara layak dilantik semula tetapi tidaklah layak dilantik bagi apa-apa pelantikan lain dalam perkhidmatan Persekutuan atau bagi apa-apa pelantikan dalam perkhidmatan sesuatu Negeri
(3) Ketua Audit Negara boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya tetapi tidaklah boleh dipecat daripada jawatan kecuali atas alasan dan mengikut cara yang sama seperti seorang hakim Mahkamah Persekutuan.
(4) Parlimen hendaklah melalui undang-undang membuat peruntukan bagi saraan Ketua Audit Negara, dan saraan yang diperuntukkan sedemikian hendaklah dipertanggungkan pada Kumpulan Wang Disatukan.
(5) Saraan dan terma lain jawatan (termasuk hak pencen) bagi Ketua Audit Negara tidaklah boleh, selepas pelantikannya, diubah menjadi kurang baik baginya.
(6) Tertakluk kepada peruntukan Perkara ini, terma dan syarat perkhidmatan Ketua Audit Negara hendaklah ditentukan melalui undang-undang persekutuan dan, tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan, oleh Yang di-Pertuan Agong.

 

Perkara 106: Kuasa dan Tugas Ketua Audit Negara
(1) Akaun bagi Persekutuan dan bagi Negeri-Negeri hendaklah diaudit dan dibuat laporan mengenainya oleh Ketua Audit Negara.
(2) Ketua Audit Negara hendaklah melaksanakan apa-apa tugas lain dan menjalankan apa-apa kuasa sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang persekutuan berhubung dengan akaun bagi Persekutuan dan akaun bagi Negeri-Negeri dan berhubung dengan akaun bagi pihak-pihak berkuasa awam lain dan akaun bagi badan yang dinyatakan melalui perintah yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

 

Perkara 107: Laporan Ketua Audit Negara
(1) Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan laporan-laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Rakyat.
(2) Satu naskhah mana-mana laporan itu yang berhubungan dengan akaun bagi sesuatu Negeri, atau berhubungan dengan akaun-akaun bagi mana-mana pihak berkuasa awam yang menjalankan kuasa yang diberikan oleh undang-undang Negeri, hendaklah dikemukakan kepada Raja atau Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri itu yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentangkan di hadapan Dewan Undangan.