Audit
Berkualiti Meningkatkan Akauntabiliti |
![]() Jabatan Audit
Negara Malaysia
No 15, Aras 1-5, Persiaran Perdana, Presint 2, 62518 Putrajaya,Malaysia. Tel : +603 8889 9000 Fax : +603 8889 1607 webmaster@audit.gov.my ![]() |
Ketua Audit Negara dilantik oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja (Artikel 105 Perlembagaan Persekutuan ).
Ketua Audit Negara melalui perundangan diberi kuasa yang luas untuk mengaudit dan melapor terus kepada Badan Perundangan. Perkara ini membolehkan beliau menjalankan tugas-tugas statutnya berasaskan undang-undang dan tanpa campur tangan mana-mana pihak. Peruntukan yang mencukupi telah diwujudkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit untuk memastikan kebebasan beliau. Ketua Audit Negara diberikan kuasa secukupnya untuk mendapatkan keterangan dan menyemak semua rekod termasuk dokumen terperingkat untuk beliau menjalankan tugas.
Artikel 109 Perlembagaan Persekutuan memperuntukan bahawa Ketua Audit Negara tidak tertakluk kepada kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Walaupun Pejabat Ketua Audit Negara adalah salah satu cabang pentadbiran, namun ia adalah bebas daripada badan eksekutif Kerajaan. Kebebasan Ketua Audit Negara juga dijamin melalui peruntukan Perlembagaan yang menetapkan aturcara perlantikan, saraan dan keselamatan tempoh jawatan.
Dalam melaksanakan tugasnya bagi pihak Ketua Audit Negara, kakitangan Jabatan Audit dilindungi oleh kuasa statut yang diberikan kepada Ketua Audit Negara oleh undang-undang.
Akta Audit memberi kuasa yang luas kepada Ketua Audit Negara dalam melaksanakan tugasnya. Seksyen 7 Akta Audit memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara mendapatkan keterangan dan maklumat yang diperlukan untuk menjalankan pengauditan yang sempurna. Ketua Audit Negara berhak melihat tanpa sekatan semua rekod, baucer, dokumen, wang tunai, stem, saham-saham, barang-barang stor dan harta-harta yang tertakluk kepada auditannya. Beliau juga boleh memanggil mana-mana individu untuk mengemukakan apa-apa keterangan atau maklumat yang diperlukan, dan individu yang dipanggil itu adalah wajib di sisi undang-undang untuk mengemukakan maklumat atau keterangan yang diperlukan.
Ketua Audit Negara juga berhak mendapatkan pandangan daripada pegawai undang-undang mengenai perkara perundangan.
Ketua Audit Negara boleh menurunkan kuasa dan melantik mana-mana individu yang mempunyai kebolehan untuk menjalankan pengauditan bagi pihaknya dan di bawah arahannya.
Ketua Audit Negara boleh melantik mana-mana individu berkebolehan yang bukan dari sektor Kerajaan untuk membantu beliau menjalankan kerja pengauditan.
Bagi membantu beliau melaksanakan tugas secara bebas, Seksyen 8 Akta Audit melebihi kuasa rahsia di bawah undang-undang lain melainkan undang-undang tersebut secara khusus mengeluarkan pengenaan Seksyen 8, Akta Audit, 1957.
PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB
Seksyen 9(1) Akta Audit mewajibkan Ketua Audit Negara mengaudit akaun-akaun Kerajaan Persekutuan dan 13 Kerajaan Negeri. Tanggungjawab utama Ketua Audit Negara ialah mengaudit dan mengesahkan penyata kewangan dan melaporkan hasil pemeriksaannya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan-sultan atau Yang diPertua Negeri yang akan memperkenankan laporan tersebut dibentangkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Beliau juga berperanan meningkatkan standard akauntabiliti awam dengan membuat laporan dan memberi keyakinan kepada Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bahawa laporan adalah tepat pada masanya dan kandungan Akaun Awam adalah tepat dan pengurusan sumber adalah sempurna. Gambarajah di bawah menunjukkan perkaitan proses audit dan akauntabiliti di Malaysia.
Ketua Audit Negara bertanggungjawab untuk mengaudit akaun-akaun Kerajaan Persekutuan termasuk 30 Kementerian/Jabatan dan lain-lain.; 96 Badan-badan Berkanun Persekutuan dan Kumpulan Wang Pelbagai; 13 Kerajaan Negeri; 137 Badan-badan Berkanun dan Kumpulan Wang Negeri; 146 Kerajaan Tempatan dan 16 Majlis Agama Islam peringkat Persekutuan dan Negeri sebagaimana yang diperuntukan di bawah Seksyen 6 Akta Audit 1957.
Tiga jenis pengauditan yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara sebagaimana yang dinyatakan dalam Akta Audit 1957 ialah:
Pengauditan Kewangan
Tujuan melaksanakan pengauditan kewangan ialah untuk memberi pandangan sama ada penyata tahunan kewangan menggambarkan kedudukan kewangan yang benar dan saksama.
Pengauditan Pematuhan
Jabatan bertanggungjawab menjalankan audit pematuhan termasuk pemeriksaan dan penilaian aktiviti-aktiviti Kementerian/Jabatan atau agensi untuk mengesahkan sama ada undang-undang dan peraturan dipatuhi sepenuhnya. Oleh kerana pengauditan tidak dapat dijalankan bagi semua aktiviti sesuatu agensi, audit pematuhan hanya dijalankan secara pusingan.
Pengauditan Prestasi
Pengauditan prestasi melibatkan kajian dan penganalisaan program atau aktiviti tertentu di Kementerian/Jabatan dan Agensi Kerajaan. Pengauditan ini menentukan sama ada objektif program atau aktiviti dicapai dan sama ada pelaksanaan program dan aktiviti dijalankan secara ekonomi, cekap dan berkesan.
PERANAN KETUA AUDIT NEGARA DALAM PENTADBIRAN SEKTOR AWAM
Selain daripada peranan yang disebut dalam Akta Audit, Ketua Audit Negara terlibat secara aktif dengan agensi awam yang lain dalam pembangunan rangka kerja pentadbiran sektor awam. Beliau ialah ahli kepada Majlis Pembangunan Negara, Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Keutuhan Pengurusan Kewangan dan Jawatankuasa Tertinggi yang lain yang diwujudkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa.