Audit Berkualiti Meningkatkan Akauntabiliti
Jabatan Audit Negara Malaysia
No 15, Aras 1-5, Persiaran Perdana, Presint 2, 62518 Putrajaya,Malaysia.
Tel : +603 8889 9000 Fax : +603 8889 1607 webmaster@audit.gov.my
 
PERUNDANGAN
©Hakcipta Terpelihara Jabatan Audit Negara Malaysia 2004
LAMAN UTAMA
 
 

 

AKTA AUDIT 1957

1. Tajuk Ringkas

(1) (a) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Audit 1957.
(b) - (c) (Dimansuhkan).

(2) Akta ini terpakai bagi pengauditan akaun-akaun Persekutuan, Negeri-negeri dan pihak-pihak berkuasa awam dan badan-badan tertentu yang lain yang tertakluk kepada pengauditan oleh Ketua Audit Negara.

2. Interpretasi

(1) Perkataan-perkataan dan ungkapan-ungkapan yang digunakan dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain atau jika diperuntukkan selainnya dengan nyata dalam Akta ini, hendaklah mempunyai erti yang diberi kepadanya dalam Akta Prosedur Kewangan 1957.

(2) Walau apa pun peruntukan dalam seksyen 1(2), dalam pemakaiannya bagi Akta ini, ungkapan "wang awam" meliputi wang yang diterima oleh atau mengenai akaun mana-mana pihak berkuasa awam yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan atau Negeri dan ungkapan "stor awam" meliputi harta-harta alih yang dipunyai oleh, atau berada dalam milik, atau di bawah kawalan, mana-mana pihak berkuasa tersebut.

3. Terma dan Syarat Perkhidmatan Ketua Audit Negara

Ketua Audit Negara hendaklah disifatkan seorang pegawai perkhidmatan awam am Persekutuan dan, kecuali diperuntukkan selainnya dalam Akta ini, undang-undang yang sedang berkuatkuasa berhubung dengan perkhidmatan awam Persekutuan dan anggota-anggotanya hendaklah dipakai untuk beliau.

4. Saraan Ketua Audit Negara

(1) Saraan Ketua Audit Negara hendaklah seperti yang ditentukan di bawah Jadual Pertama dan Kedua.

(2) Istilah "saraan" dalam Akta ini hendaklah mempunyai erti yang diberi kepada istilah itu dalam Fasal (2) Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

(3) Semua pembayaran yang dibuat di bawah Jadual-jadual Pertama dan Kedua hendaklah disatukan.

5. Tugas-tugas Ketua Audit Negara

(1) Ketua Audit Negara hendaklah, mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut, memeriksa, menyiasat dan mengaudit;

(a) akaun-akaun pegawai-pegawai perakaunan Persekutuan dan Negeri;
(b) akaun-akaun mana-mana kumpulan wang berasingan yang ditubuhkan di sesebuah negeri atau di Wilayah Persekutuan di bawah Perkara 97 (3) Perlembagaan Persekutuan, walaupun ada undang-undang yang memperuntukkan sebaliknya;
(c) akaun-akaun mana-mana pihak berkuasa awam atau badan yang lain jika ianya diperuntukkan sedemikian oleh undang-undang dalam mana-mana hal dan, sekiranya ia tidak diperuntukkan sedemikian, pada permintaan pihak berkuasa atau badan itu dan dengan persetujuan Menteri Kewangan yang mana hendaklah diberitahu dalam Warta;
(d) akaun-akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965, yang menerima pemberian atau pinjaman daripada Persektuuan atau Negeri, dan termasuk juga syarikat di mana lebih daripada separuh modal saham berbayar dipegang oleh Persekutuan, oleh sesebuah Negeri atau oleh sesuatu pihak berkuasa awam atau dipegang sedemikian sebanyak itu oleh dua atau lebih daripada mereka:
(e) ( Dimansuhkan mengikut Akta 558.)
(f) Akaun-akaun mana-mana pihak berkuasa awam lain jika Menteri Kewangan puas hati bahawa kepentingan awam memerlukan akaun-akaun pihak berkuasa itu diperiksa, disiasat dan diaudit oleh Ketua Audit Negara, walaupun ada undang-undang berhubungan dengan akaun-akaun dan pengauditan pihak berkuasa yang sedemikain itu:

" Dengan syarat bahawa Menteri tidak boleh menyebabkan akaun-akaun mana-mana pihak berkuasa sedemikian yang menggunakan kuasa-kuasa yang diberi kepadanya oleh undang-undang Negeri supaya diperiksa, disiasat dan diaudit oleh Ketua Audit Negara melainkan dia telah terlebih dahulu berunding dengan Menteri Besar atau Ketua Menteri Negeri itu."

(2) Bayaran bagi pengauditan akaun-akaun dalam seksyen kecil (1) (b), (c) dan (d) hendaklah ditentukan dalam tiap-tiap hal oleh Perbendaharaan setelah berunding dengan Ketua Audit Negara, dan bayaran itu hendaklah dipertanggungkan kepada kumpulanwang pihak berkuasa atau badan yang berkenaan itu.

(3) Tiada apa-apa bayaran harus dikenakan bagi pengauditan yang diperlukan mengikut seksyen kecil (1) (f).

6. Corak Pengauditan

Ketua Audit Negara hendaklah dalam pengauditannya membuat apa-apa pemeriksaan yang disifatkannya perlu untuk menentukan:-

(a) sama ada segala langkah berjaga-jaga yang munasabah telah diambil untuk memelihara keselamatan pungutan dan penjagaan wang awam atau wang lain yang tertakluk kepada auditannya;

(b) sama ada pengeluaran dan pembayaran wang yang tertakluk kepada auditannya telah dibuat mengikut kuasa yang sepatutnya dan pembayaran telah dipertanggungkan sepatutnya dan disokong dengan baucar atau bukti pembayaran yang cukup;

(ba) sama ada perhatian yang sewajarnya telah diambil untuk mengambilkira dan untuk memastikan penggunaan, pengawalan, penyelenggaraan dan pelupusan yang sepatutnya bagi segala stor awam atau stor lain yang tertakluk kepada auditannya;

(c) sama ada segala akaun dan rekod lain telah dan sedang diselenggara dengan betul dan tepat;

(d) sama ada pada pendapatnya wang telah digunakan untuk maksud-maksud ianya diperuntukkan atau dibenarkan dan aktiviti-aktiviti berhubungan dengan maksud-maksud itu telah dijalankan atau diuruskan dengan cara yang cekap dengan memberi perhatian sewajarnya terhadap ekonomi dan pengelakan daripada pembaziran atau pemborosan; dan

(e) sama ada peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Prosedur Kewangan 1957, dan mana-mana undang-undang bertulis lain berhubungan dengan wang atau stor yang tertakluk kepada auditannya telah dipatuhi dalam segala aspek.

7. Kuasa-kuasa Ketua Audit Negara

(1) Dalam melaksanakan fungsi-fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan atau Akta ini, Ketua Audit Negara:-

(a) boleh meminta mana-mana individu memberi penjelasan dan keterangan yang dikehendaki oleh Ketua Audit Negara untuk membolehkannya melaksanakan tugas-tugasnya;

(b) boleh, tanpa dikenakan apa-apa bayaran, membuat carian, dan cabutan daripada, mana-mana buku, dokumen atau rekod di mana-mana pejabat awam;

(c) berhak menggunakan segala rekod, buku, baucar, dokumen, wang tunai, setem, suratan milik, stor atau lain-lain harta yang tertakluk kepada auditannya;

(d) boleh memeriksa berasaskan sumpah atau ikrar (yang mana Ketua Audit Negara adalah dengan ini diberi kuasa untuk mengendalikannya ) individu yang difikirkannya patut diperiksa mengenai semua perkara dan benda yang perlu untuk melaksanakan tugas-tugasnya dengan wajar;

(e) boleh memberi kuasa kepada mana-mana pegawai awam untuk menjalankan apa-apa siasatan, pemeriksaan atau pengauditan bagi pihaknya dan melaporkan tentang siasatan, pemeriksaan atau pengauditan itu kepadanya; dan

(f) boleh mendapatkan nasihat daripada seorang pegawai undang-undang mengenai apa-apa soal undang-undang.

(2) Mana-mana kuasa yang diberi oleh seksyen ini kepada Ketua Audit Negara boleh digunakan oleh seseorang pegawai awam yang diberi kuasa oleh Ketua Audit Negara secara bertulis untuk menggunakan kuasa itu bagi pihaknya.

(3) Ketua Audit Negara boleh memberi kuasa kepada individu tertentu yang disifatkannya berkebolehan untuk menjalankan bagi pihaknya dan di bawah arahannya apa-apa siasatan, pemeriksaan atau pengauditan dan melaporkan keputusan-keputusan tindakan itu kepadanya, dan bagi maksud itu boleh membuat perkiraan untuk bayaran dengan persetujuan Perbendaharaan dan pihak-pihak berkenaan, dan mana-mana kuasa yang diberi oleh seksyen kecil (1) (a), (b) (c) dan (d) kepada Ketua Audit Negara boleh dijalankan oleh individu tersebut jika dia diberi kuasa secara bertulis.

(4) Tiap-tiap orang yang diminta memberi penjelasan atau keterangan menurut seksyen (1) (a) dan (d) adalah terikat di sisi undang-undang untuk memberi penjelasan atau keterangan itu, mengikut mana yang berkenaan.

8. Kerahsiaan

(1)
Penggunaan kuasa di bawah seksyen 7 tidak boleh dihadkan oleh mana-mana peruntukan (termasuklah peruntukan berhubungan dengan kerahsiaan) yang terkandung dalam mana-mana undang-undang lain kecuali undang-undang tersebut dengan nyatanya mengecualikan kuatkuasa seksyen itu.

(2) Tanpa mengambil kira peruntukan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang lain ataupun sumpah atau perakuan simpan rahsia yang dibuat, seseorang itu tidak akan dianggap melakukan suatu kesalahan atas apa-apa sebab jua jika dilakukan olehnya bagi maksud-maksud seksyen 7.

(3) Tiada sesiapa pun, sama ada Ketua Audit Negara atau orang lain, boleh membocor atau menyampaikan, kecuali semasa melaksanakan kewajipan kepada seseorang lain yang melaksanakan kewajipan di bawah Akta ini, apa-apa maklumat yang sampai kepada pengetahuannya secara langsung atau tak langsung mengikut seksyen 7, dalam mana-mana hal jika orang yang daripadanya didapati maklumat itu atau orang yang daripada jagaannya dikemukakan akaun-akaun, buku-buku, dokumen-dokumen atau kertas-kertas tidak boleh membuka maklumat itu secara sah kepada Ketua Audit Negara atau orang lain itu kalau kerana Akta ini.

(4) Seksyen kecil (3) tidaklah harus menghalang pembuatan, pembocoran atau penyampaian kesimpulan, pemerhatian atau syor yang berdasarkan maklumat yang didapati mengikut seksyen 7, dalam mana-mana laporan Ketua Audit Negara.

9. Laporan Audit

(1)
Menteri atau Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah Negeri, mengikut mana yang berkenaan, hendaklah, sebaik sahaja penyata yang dikehendaki di bawah seksyen 16 Akta Prosedur Kewangan 1957 disediakan, menghantar penyata itu kepada Ketua Audit Negara, yang hendaklah dengan serta-merta menghendaki penyata itu diperiksa dan diaudit dan menyediakan laporannya mengenai penyata itu.

(2) Jika penyata itu tidak diterima dalam tempoh tujuh bulan selepas berakhirnya tahun kewangan yang berkenaan, Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan satu laporan mengenai hal itu kepada Yang diPertuan Agong, yang hendaklah menyebabkan laporan itu dibentang dalam Dewan Rakyat dalam mesyuaratnya yang menyusul. Bagi laporan berhubung dengan penyata yang mesti dikemukakan oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah Negeri, Ketua Audit Negara hendaklah, sebelum mengemukakan laporan itu kepada Yang diPertuan Agong, mengemukakan satu salinan laporan itu kepada Raja atau Yang diPertua Negeri di Negeri itu, dan seterusnya mengarahkan laporan berkenaan dibentang dalam Dewan Undangan dalam mesyuaratnya yang menyusul.

(3) Satu salinan tiap-tiap laporan berhubungan dengan akaun-akaun Persekutuan yang disediakan mengikut seksyen kecil (1) hendaklah dihantar oleh Ketua Audit Negara kepada Menteri dan, jika Dewan Rakyat tidak bersidang pada masa itu, Menteri hendaklah menyebabkan penyata dan laporan itu disiarkan.

(4) Jika pada bila-bila masa ternyata kepada Ketua Audit Negara mendapati berlaku ketidakpatuhan aturan yang serius telah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau stor awam di bawah auditannya, beliau hendaklah dengan serta-merta membawa perkara itu kepada pengetahuan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan, dalam hal wang atau stor sesebuah Negeri atau pihak berkuasa awam, kepada pengetahuan pihak berkuasa kewangan Negeri atau kepada ketua pihak berkuasa awam itu, mengikut mana yang berkenaan.

(5) Ketua Audit Negara, dalam apa-apa laporan yang dikemukakan mengikut Perkara 107 (1) Perlembagaan Persekutuan atau selainnya, boleh membuat syor dan boleh secara umum mengulas tentang semua perkara berhubungan dengan akaun-akaun, wang dan stor awam.

(6) Ketua Audit Negara hendaklah mengemukakan perakuan dan pemerhatian mengenai akaun-akaun mana-mana kumpulanwang berasingan yang ditubuhkan di Wilayah Persekutuan atau sesebuah Negeri di bawah Perkara 97 (3) Perlembagaan Persekutuan kepada Yang Di Pertuan Agong dalam hal Wilayah Persekutuan atau Raja atau Yang diPertua Negeri di Negeri itu atau kepada mana-mana pihak berkuasa lain yang diperuntukkan oleh undang-undang Persekutuan atau Negeri.

(7) Melainkan jika dikehendaki oleh sesuatu undang-undang atau arahan Menteri, jika Ketua Audit Negara mengaudit akaun-akaun mana-mana pihak berkuasa atau badan lain, beliau hendaklah menyampaikan surat akuan dan pemerhatiannya mengenai akaun-akaun itu kepada ketua pihak berkuasa atau badan itu dan satu salinan akuan dan pemerhatian itu kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri yang bertanggungjawab bagi pihak berkuasa atau badan itu, dan Ketua Audit Negara, pada bila-bila masa sebelum menyampaikan surat akuan dan pemerhatian itu, boleh membawa kepada pengetahuan ketua pihak berkuasa atau badan itu atau Menteri yang bertanggungjawab bagi pihak berkuasa atau badan itu apa-apa perkara yang pada pendapatnya memerlukan perhatian serta-merta.

(8) Walau apa pun peruntukan seksyen ini, Ketua Audit Negara pada bila-bila masa boleh menghantar laporan kepada Yang diPertuan Agong mengenai apa-apa perkara yang berbangkit daripada pelaksanaan mana-mana undang kewajipannya atau penggunaan kuasanya di bawah Akta ini atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis, dan boleh menghantar satu salinan laporan sedemikian kepada Raja atau Yang Di Pertua Negeri sesebuah Negeri atau kepada seseorang Menteri.

10. Peraturan-Peraturan

(1)
Menteri, selepas berunding dengan Majlis Kewangan Negara, boleh membuat apa-apa peraturan yang tidak bercanggah dengan Akta ini yang perlu bagi maksud-maksud Akta ini.

(2) Semua peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini hendaklah dibentang dalam Dewan Rakyat dalam mesyuaratnya yang menyusul selepas peraturan-peraturan itu dibuat.

11. Kuasa Untuk Meminda Jadual

Yang diPertuan Agong boleh dengan perintahnya mewartakan dalam Gazet meminda peruntukan di dalam Jadual.